Pendahuluan
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
“Hafiz, apabila kita buat jahat, syaitan yang suruh kita buat jahat atau Allah yang taqdirkan kita buat jahat?” tanya Budiman, seorang sahabat saya yang bekerja sebagai jurutera pesawat berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
“Kalau nak kata syaitan, maka bukankah Allah jua yang mentaqdirkan untuk cipta syaitan dengan segala sifat jahatnya itu? Jadi macam mana sekalipun, Allah yang taqdir kita buat jahat?”
“Dah begitu, kenapa Allah mengazab dalam neraka orang yang Allah taqdirkan buat jahat?” tanya beliau bertubi-tubi.
“Nanti aku kaji dan cuba carikan jawapannya ya” jawab saya ringkas.
Demikian beberapa dari sekian banyak persoalan yang kerap ditanya oleh orang ramai berkenaan qadar dan qadha. Bukan saja orang ramai, kadangkala saya juga tertanya-tanya. Sedia maklum kita hanya diajar subjek ini secara minimum di bangku sekolah lama dahulu. Padahal subjek ini amat luas dan menyentuh segala aspek kehidupan kita.
Berpijak dari fenomena ini, saya merajinkan diri untuk mengkaji subjek qadar dan qadha agar dapat memahaminya dengan lebih mendalam. Agar saya dapat menjawab persoalan yang adakalanya berpusing dalam diri saya dan juga sesama umat Islam. Saya berazam untuk menulis sebuah buku mengenainya kerana dengan cara ini saya akan mengkaji subjek ini benar-benar mendalam.
Setelah hampir tiga tahun mengkaji, saya merasa yakin untuk memulakan penulisan ini. Bermula dengan solat al-Istikharah, buku ini saya tulis dan susun berdasarkan beberapa metodologi iaitu:
Pertama:
Memandangkan subjek qadar dan qadha agak rumit dan memberatkan, saya susun buku ini dalam bentuk soalan dan jawapan. Ini adalah cara yang terbukti memudahkan apa yang susah, meringankan apa yang berat. Ia sebagaimana yang saya jelaskan dalam buku Berdakwah Melalui Penulisan Efektif, bab 2.5.2.
Kedua:
Soalan-soalan saya susun mengikut tertib dari yang asas berkenaan qadar dan qadha kepada yang lebih mendalam. Justeru buku ini hendaklah dibaca mengikut tertib dari awal hingga akhir. Tidak digalakkan bagi para pembaca sekalian melompat terus ke soalan pilihannya kerana dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan atau kefahaman yang tidak sempurna.
Ketiga:
Termasuk dalam metodologi memudahkan, saya meminimumkan jumlah rujukan notakaki dalam buku ini. Ini kerana bagi sebahagian pembaca, kehadiran notakaki dalam sesebuah penulisan menyebabkan mereka merasakan ia adalah sukar lagi memberatkan. Maka saya hanya menyertakan notakaki yang perlu seperti darjat dan rujukan hadis.
Keempat:
Sepanjang sejarah umat Islam, terdapat banyak pendapat dan aliran berkenaan qadar dan qadha. Bagi mengawasi fenomena ini, ketika mengkaji dan menulis saya hanya membataskan rujukan saya kepada sumber-sumber Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Dua sumber rujukan saya yang utama ialah:
- al-Iman bi al-Qadha wa al-Qadar oleh Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Hamd. (edisi terjemahan oleh Ahmad Syaikhu atas judul Kupas Tuntas Masalah Takdir; Pustaka Ibnu Katsir, Bogor, 2005).
- al-Qadha wa al-Qadar inda al-Salaf oleh Syaikh Ali bin al-Sayyid al-Washifi. (edisi terjemahan oleh Ali Murtadho atas judul Qadha dan Qadar Dalam Pandangan Ulama Salaf; Pustaka Azzam, Jakarta, 2005).
Kedua-dua sumber di atas telah mengupas subjek qadar dan qadha dengan amat baik dan mendalam. Akan tetapi metodologi pengupasan agak sukar lagi panjang, maka saya mudahkan dan ringkaskan dalam penulisan ini dalam bentuk soalan dan jawapan.
Kelima:
Masih dalam rangka memudahkan, dalam beberapa kes saya memberikan contoh dalam kehidupan harian kita sebagai perumpamaan tentang qadar dan qadha Allah Subhanahu waTa’ala. Tentu saja ini dilakukan dengan catatan bahawa Allah Maha Suci dari sebarang kesamaan dengan makhluk-Nya dan perumpamaan-perumpamaan tersebut tiada tandingannya dengan kesempurnaan dan keagungan qadar dan qadha Allah. Ia sekadar contoh bagi membantu kefahaman para pembaca, bukan pengganti yang sempurna bagi qadar dan qadha Allah.
Di sini saya teringat kepada sebuah hadis yang memberikan perumpamaan dengan kehidupan harian kita bagi menggambarkan kegembiraan Allah terhadap hamba yang bertaubat kepada-Nya. Hadis yang saya maksudkan ialah:
الَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ الْمُؤْمِنِ مِنْ رَجُلٍ فِي أَرْضٍ دَوِّيَّةٍ مَهْلِكَةٍ مَعَهُ رَاحِلَتُهُ عَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَنَامَ فَاسْتَيْقَظَوَقَدْ ذَهَبَتْ فَطَلَبَهَا حَتَّى أَدْرَكَهُ الْعَطَشُ.
ثُمَّ قَالَ أَرْجِعُ إِلَى مَكَانِيَ الَّذِي كُنْتُ فِيهِ فَأَنَامُ حَتَّى أَمُوتَ. فَوَضَعَ رَأْسَهُ عَلَى سَاعِدِهِ لِيَمُوتَ فَاسْتَيْقَظَ وَعِنْدَهُ رَاحِلَتُهُوَعَلَيْهَا زَادُهُ وَطَعَامُهُ وَشَرَابُهُ.
فَاللَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ الْعَبْدِ الْمُؤْمِنِ مِنْ هَذَا بِرَاحِلَتِهِ وَزَادِهِ.
Allah sangat gembira dengan taubat seorang hamba yang beriman melebihi kegembiraan seseorang (pengembara yang) berada di gurun yang mencekam dengan ditemani haiwan tunggangan yang membawa di atasnya bekalan makanan dan minuman. Kemudian dia tertidur lalu apabila bangun dari tidurnya, ternyata haiwan tunggangannya sudah terlepas dengan membawa bekalan makanan dan minumannya. Kemudian orang tersebut mencari haiwan tunggangannya ke sana ke mari hingga dia merasa haus.
Setelah itu dia berkata: “Aku kembali sajalah ke tempat tidurku sampai aku mati.” Orang itu membaringkan tubuhnya dengan meletakkan kepalanya di atas lengannya dan bersiap-siap untuk mati. Namun dia terbangun dan mendapati haiwan tunggangannya berada di sisinya dan di atasnya terdapat bekalan makanan dan minumannya.
Sesungguhnya kegembiraan Allah kerana taubat seorang hamba yang beriman melebihi kegembiraan orang yang haiwan tunggangannya terlepas lalu kembali dengan membawa bekalan makanan dan minumannya.[1]
Demikianlah lima metodologi asas yang saya gunakan untuk menulis dan menyusun buku ini. Saya berdoa kepada Allah Subhanahu waTa’ala agar buku ini mengandungi ilmu yang benar berkenaan qadar dan qadha-Nya. Saya juga berdoa agar buku ini dapat menyampaikan kefahaman yang tepat berkenaan qadar dan qadha-Nya kepada para pembaca sekalian. Akhir sekali saya berdoa agar ilmu dan kefahaman yang terkandung dalam buku ini sama-sama dapat kita amalkan dalam kehidupan sehari-harian.
Tidak ketinggalan, saya berdoa agar buku ini menjadi amal shalih dan saham yang menguntungkan di Hari Akhirat kelak bagi saya dan semua orang yang membantu menjayakannya. Kepada Allah sajalah kita memohon dan kepada Allah sajalah kita mengharapkan pemakbulannya.
Hafiz Firdaus bin Abdullah
17 Sept 2010 – 24 Nov 2010
17 Sept 2010 – 24 Nov 2010
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4929 (Kitab al-Taubat, Bab dorongan untuk bertaubat).
lebih jekasnya dapat dibaca dan di sini : http://www.hafizfirdaus.com/ebook/47QNQ/index.htm
Posting Komentar